Sunday, February 24, 2008

Kejohanan Futsal Terbuka Sports Planet Kajang

Pada 24 Feb. 2008, telah berlansung satu kejohanan futsal terbuka anjuran Sports Planet Kajang (SPK). Sebanyak 72 pasukan telah bertanding bagi merebut hadiah wang tunai berjumlah RM6700 yang dipertandingkan. Di mana Juara membawa pulang wang tunai sebanyak RM4000, Naib Juara RM1500, Ketiga RM800 dan tempat Keempat RM400.

Team Gila Futsal melalui khidmat rakan kami, En. Hamizat telah diberi peluang untuk membantu SPK dari segi teknikal kejohanan. Penyusunan jadual supaya bersesuaian dengan jumlah team dan masa pertandingan yang diperuntukkan. Mengurus hal-hal berkaitan dengan pegawai perlawanan (pengadil). Alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik sehingga tamat pertandingan.
Keputusan akhir kejohanan futsal ini adalah
  1. Johan : Team Adigun
  2. N/Johan : MPSJ
  3. Ketiga : Brabus A
  4. Keempat : Brabus B

Tahniah kepada pasukan yang berjaya.

Diharap dengan kejayaan penganjuran kali ini, SPK akan memberi lebih banyak peluang kepada Team Gila Futsal melalui En. Hamizat dalam menguruskan pertandingan yang akan dianjurkan di SPK selepas ini.


- Jom Main Futsal -

Saturday, February 16, 2008

Kejohanan Futsal PLKN Negeri Selangor

Pada 16 Feb 2008 berlansung satu kejohanan futsal PLKN (bagi pelatih PLKN sahaja) di Sport Planet Kajang. Kejohanan ini diadakan bagi memilih pasukan yang akan mewakili Selangor (Zon C), dalam pertandingan peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Matsushita Sport Complex di Shah Alam.

Saya dilantik sebagai pengadil perlawanan bersama dengan lima orang rakan pengadil dari Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) bagi mengadili pertandingan tersebut. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar. Seronok juga tengok pelatih PLKN ni bertanding sesama sendiri bagi memastikan kemenangan bagi kem yang mereka wakili. Dengan sorakan dan sokongan dari penyokong yang sanggup menunggu dari jam9 pagi hingga jam 4.30 petang demi memberikan suntikan semangat pada rakan-rakan yang bermain.

Nak kata semua pelatih PLKN boleh main futsal, memanglah boleh main. Tetapi yang benar-benar bermain dengan baik bagi saya cuma 4 pasukan yang beraksi di pusingan separuh akhir. Ini terbukti apabila kedua-dua perlawanan separuh akhir berakhir dengan sepakan penalti selepas kedudukan seri sehingga tamat masa tambahan.

Keputusan pertandingan futsal PLKN Zon C:
  1. Johan : Kem Rimba Templer
  2. N/Johan : Kem Geo Kosmo
  3. Ketiga : Kem Millenium

Tahniah kepada pemenang pertandingan futsal ini, teruskan bermain futsal dan selamat maju jaya.


- Jom Main Futsal -

Wednesday, February 13, 2008

Zaidi umum bersara dari skuad kebangsaan

BAGI mengotakan janjinya, penjaga gol utama skuad futsal kebangsaan, Zaidi Ramli mengumumkan hasratnya untuk bersara selepas tujuh tahun membawa cabaran negara di beberapa kejohanan antarabangsa.

“Saya memang sudah lama memikirkan untuk bersara dan saya menanam tekad berbuat demikian selepas Kejohanan Futsal Kuala Lumpur World 5’s (KL World 5’s) dan kini, sudah sampai masanya untuk saya menunaikan kata-kata saya itu.

“Selepas tujuh tahun, saya berasakan perlunya memberi peluang kepada penjaga gol yang lebih muda daripada saya kerana dalam permainan ini, kita memerlukan pemain yang sentiasa cergas.

“Saya berharap semua pemain dalam pasukan sekarang akan terus berusaha meningkatkan lagi permainan masing-masing dan mereka perlu sedar dan bangga kerana dapat terpilih mewakili Malaysia,” kata Zaidi.

Anggota tentera berpangkat Lans Koperal berusia 37 tahun itu mula mewakili negara pada 2001 dan sepanjang kariernya, beliau membantu negara mencapai lima kejayaan besar termasuk memenangi pingat perak pada Sukan Sea Korat, hujung tahun lalu.

Pada 2003, beliau menjaga gawang negara hingga membolehkan Malaysia muncul juara kategori Bowl pada KL World 5’s yang pertama diikuti pemenang tempat kedua Kejohanan AFF yang dilangsungkan di Kompleks Sukan Pahang (Sukpa) Kuantan.

Dua tahun kemudian, skuad yang sama berjaya mempertahankan kedudukan sebagai naib johan Kejohanan AFF yang dilangsungkan di Thailand tetapi gelaran itu gagal dipertahankan ketika kejohanan sama berlangsung pada 2007 di Bangkok.

Ketika itu, Malaysia hanya berupaya menduduki tempat ketiga selepas ditewaskan Thailand di peringkat separuh akhir tetapi menewaskan Vietnam menerusi penentuan penalti untuk penentuan tempat ketiga dan keempat.

“Kejayaan paling manis sepanjang bergelar pemain futsal kebangsaan ialah ketika kami muncul naib juara Sukan Sea kerana ia adalah pertandingan yang pertama kali diperkenalkan di peringkat Sukan Sea,” katanya.

Di peringkat Asean, kelibat Zaidi cukup dikenali dan digeruni lawan kerana beliau tidak pernah gentar menahan setiap asakan penyerang dan kerap menjadikan badannya sebagai perisai terakhir ketika tidak sempat menghulurkan tangannya.

Bukan sekali dua malah Zaidi berani menggunakan dadanya untuk menahan sepakan kencang terutama sekali sepakan penalti yang diambil lawan dan beliau mengakui ada kalanya rasa gerun tetap singgah di hatinya.

“Apa yang saya bimbangkan ialah sekiranya bola itu terlalu laju hingga mendatangkan kecederaan dalaman tetapi saya bersyukur hingga kini, masalah yang saya bimbangkan itu tidak berlaku. Bukan sengaja mahu berbuat demikian tetapi ada kalanya, tangan saya tidak sempat untuk menampan bola itu dan apa yang terlintas di fikiran saya ialah menggunakan dada,” katanya.


Sumber : myMetro
Oleh : Lokman Zainal Abidin

Tuesday, February 12, 2008

Undang-undang Asas Futsal

Lagi satu lamanweb interaktif mengenai undang-undang asas permainan futsal. Siap dengan gambar dan penerangan jelas mengenai gelanggang, pemain, pertukaran pemain, pengadil dan sedikit penerangan mengenai kesalahan-kesalahan serta tindakan displin dalam permainan futsal. Kita akan bermain lebih baik dengan mengetahui selok belok dan undang-undang permainan futsal.

Sumber gambarajah dari UEFA.

http://www.ontariofutsal.on.ca/media/futsalthegame.swf


- Jom Main Futsal -

Taktikal Asas Futsal

Hari ini GilaFutsal terjumpa satu website interaktif berkaitan dengan taktikal futsal. Nampak mudah tetapi tanpa skill asas dan kemahiran mengawal bola dan kemampuan mengawal permainan dengan baik, rasanya taktikal futsal seperti yang ditunjukkan dalam website ini tidak mungkin dapat disempurnakan dengan baik.

Seperti yang kita tahu futsal dimainkan di dalam kawasan kecil (seperti di kebanyakan pusat futsal di seluruh Malaysia). Jadi selain dari kemahiran mengawal bola, taktikal juga adalah penyumbang penting dalam menentukan kemenangan sesebuah pasukan.

Diharap dengan bantuan gambarajah interaktif ini dapat membantu kita memperbaiki mutu permainan kita di masa depan.
http://futsal-tactics.com/

- Jom Main Futsal -